Jalan Pintas Gersik perlu diberi perhatian

Sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan memerhatikan semula projek Jalan Pintas Kampung Gersik yang dilihat ‘dhaif’ dan kurang selamat bagi pengguna jalan raya di Labuan terutamanya pada waktu malam.

Situasi jalan raya tersebut yang sepatutnya ‘dua lorong untuk satu hala’ sememangnya mengelirukan dan berbahaya.

Jalan pintas itu yang menghubungkan pengguna jalan raya dari Jalan Pulau Buah ke kawasan industri Rancha Rancha perlu melalui jalan satu lorong atau ‘satu lorong setengah’ pada jalan pintas demikian sebelum bertemu dengan kawasan jalan dua lorong di pertengahan jalan.

Bagi mereka yang ingin memotong kenderaan di hadapan perlu lebih berhati-hati sebelum bertemu dengan kawasan dua lorong tersebut yang lebih selamat.

Perkara ini sudah tentunya menyedihkan bagi pengguna jalan pintas terbabit yang terpaksa mendiamkan diri dan menerima situasi tersebut seadanya sejak projek jalan raya bernilai RM20.56 juta itu mula dibuka secara rasminya kepada pengguna jalan raya pada 15 Ogos 2016.

Walaupun, situasi kewangan negara semasa dikatakan masih dalam proses pemulihan, namun, perhatian terhadap pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya perlulah tetap diberikan perhatian.

Justeru itu, sebelum sebarang projek mega dilaksanakan di Labuan kelak, kerja pembaikan infrastruktur asas seperti Jalan Pintas Kampung Gersik ini harus diutamakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *