Belon udara panas bakal datang ke Labuan

FOTO: ROZMAN (depan tiga kiri) dan Arman (depan dua kanan) kelihatan bersama mereka yang terlibat dalam penganjuran acara LABS pada Julai ini.

5 April 2019

LABUAN – Warga Labuan bakal berpeluang untuk menyaksikan serta menaiki belon udara panas (hot air balloon) yang dijangka akan diadakan di Dataran Labuan pada 5 hingga 7 Julai ini.

Jurucakap bagi syarikat penganjur (Syarikat Pro Lvy Ent), Arman Raymond Annuar Tan berkata, belon udara panas itu merupakan salah satu acara utama dalam Labuan Big Show@LABS.

“Kami menganjurkan acara LABS ini dengan harapan ianya dapat menjadi salah satu acara ikonik untuk membantu usaha kerajaan dalam mempromosikan Labuan sebagai sebuah destinasi pelancong.

“Acara LABS ini bukan sahaja untuk menarik penduduk tempatan, tetapi juga pelancong dan pengunjung yang datang dari sekitar rantau ini, dan juga dari semenanjung untuk datang ke sini,” katanya dalam sidang media yang diadakan di salah sebuah hotel sini petang tadi.

Selain belon udara panas, acara atau aktiviti dalam LABS tersebut ialah seperti taman tema mini, food fest dan food truck, seni dan kraftangan, hari bertemu pelanggan Perbadanan Labuan, tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan pameran produk tempatan. 

Apabila ditanya berkenaan yuran untuk menaiki belon udara panas tersebut, Arman berkata, yuran tersebut akan ditentukan kemudian memandangkan pihak mereka masih membuka peluang kepada pihak penaja untuk turut serta dalam acara tersebut. 

Hadir sama, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata, beliau merasa teruja dengan acara besar tersebut.

“Setakat ini kita hanya mempunyai dua acara besar di sini iaitu ‘Labuan International Sea Challenge‘ (LISC) dan Borneo Arts Festival. Kita perlukan sekurang-kurangnya empat acara besar.

“Oleh itu, saya selalu mengalakkan pemain industri tempatan untuk mencipta serta menganjurkan acara di Labuan. Setiap kita mempunyai cabaran untuk membantu industri pelancongan di Labuan.

“Kita sudah merancang sejak tiga tahun lalu untuk menganjurkan acara belon udara panas ini dan kita memerlukan lebih banyak acara ikonik di sini,” katanya. 

Sebelum ini, acara belon udara panas itu telah dianjurkan di Pulau Pinang dan Putrajaya.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *