10 tapak pembinaan di Labuan diperiksa

FOTO: PEGAWAI JKKP Labuan membuat pemeriksaan di salah satu tapak pembinaan di Labuan.

8 April 2019

LABUAN – Sejumlah 10 tapak pembinaan di sini telah diperiksa oleh pegawai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Labuan dalam ‘Operasi Cegah Jatuh Cegah Runtuh’ mereka baru-baru ini.

Jurucakap JKKP Labuan berkata, dalam operasi tersebut, sebanyak empat kertas siasatan kompaun telah dibuka di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967.

“Di bawah akta yang sama, sejumlah 23 notis pembaikan dan 18 notis larangan telah dikeluarkan kepada kontraktor yang terlibat atas pelbagai kesalahan. 

“Antara kesalahan yang telah dikenal pasti ialah seperti kegagalan mengadakan akses selamat untuk kerja-kerja konkrit, kegagalan mengadakan pengadang pada platform kerja, kegagalan melantik penyelia pemeriksaan bagi aktiviti kerja konkrit dan kegagalan memastikan kebersihan serta kekemasan tapak pembinaan.

“Bagi memastikan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan sektor pembinaan berada pada tahap yang baik, JKKP sentiasa menjalankan penguatkuasaan ke atas tapak pembinaan di sini,” katanya.

Jurucakap tersebut berkata lanjut, penguatkuasaan yang dijalankan melalui aktiviti pemeriksaan, operasi dan rondaan keselamatan adalah untuk memastikan pihak pemaju, kontraktor dan pekerja mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

Pada tahun lalu, sebanyak 125 aktiviti pemantauan, pemeriksaan dan operasi telah dijalankan ke atas 26 tapak pembinaan di Labuan, dimana sejumlah 133 notis dan tujuh kompaun berjumlah RM 19,000 telah dikeluarkan.

Sementara itu, sejumlah 440 tapak pembinaan di seluruh negara telah diperiksa oleh pihak JKKP untuk tempoh 25 Februari sehingga 30 Mac pada tahun ini.

Operasi bertujuan untuk memastikan tahap pematuhan yang maksima oleh pihak majikan atau kontraktor terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, terutamanya kepada pekerja dan orang awam yang berada di sekitar tapak pembinaan.

Aktiviti bekerja di tempat tinggi dan kerja-kerja konkrit di tapak pembinaan yang terletak berhampiran kawasan awam dan tapak yang bermasalah adalah fokus utama operasi pihak JKKP.

“Pelaksanaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di industri pembinaan (pengurusan) dapat membantu semua pihak berkepentingan dalam memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dilaksanakan dengan baik di kawasan tapak pembinaan.

“Pihak berkepentingan iaitu klien, pereka dan pembina perlu bekerjasama untuk memastikan proses dan produk pembinaan bebas daripada hazard keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” jelas jurucakap tersebut. 

Dengan kerjasama ini, JKKP Labuan berharap pihak yang terlibat dapat mengenal pasti kemungkinan bahaya yang bakal dihadapi dalam setiap proses kerja pembinaan agar langkah awal pencegahan bahaya yang mungkin wujud dapat dilaksanakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *