Naik taraf: Masjid Jamek An-Nur Labuan

6 Mei 2019

Alhamdulillah, sekali lagi kita diizinkan dan ditakdirkan oleh Yang Maha Pemurah untuk terus menghirup udara dan seterusnya menjalani ibadah puasa Ramadan pada tahun ini dalam suasana yang aman damai.

Umat Islam juga berpeluang untuk mengimarahkan masjid dan surau di seluruh negara termasuklah kita yang berada di Wilayah Persekutuan Labuan dengan pelbagai ibadah termasuhlah solat terawih secara berjemaah.

Menyentuh berkenaan dengan solat terawih selepas solat isyak, beberapa buah masjid dan surau di Labuan mungkin beruntung kerana memiliki alat penghawa dingin yang berfungsi dengan baik sehingga jemaah merasa selesa untuk solat berjemaah khususnya solat terawih.

Namun, tidak bagi jemaah Masjid Jamek An-Nur Labuan iaitu masjid yang sepatutnya bertaraf ‘Masjid Negeri’ bagi Labuan. Ini kerana, jemaah yang mendirikan solat terawih di situ terpaksa mengharungi suasana ‘kurang selesa’ ketika mendirikan solat terawih pada setiap kali menjelang tiba bulan Ramadan.

Rasa tidak selesa tersebut adalah wajar kerana ketiadaan alat penghawa dingin dalam dewan solat masjid tersebut. Terdapat segelintir jemaah yang ingin ‘berebut’ untuk solat berhampiran dengan kipas yang terdapat di sekitar masjid tersebut.

Pada hakikatnya, walaupun kipas ada dipasang di beberapa tempat dalam dewan solat termasuklah ‘kipas heli’, keadaan tersebut tidak mengubah keadaan jemaah yang tetap dalam kepanasan ketika mendirikan solat terawih.

Apa yang lebih menyedihkan, terdapat beberapa kipas yang sudah tidak berfungsi lagi kerana rosak.

Walau bagaimanapun, ianya tidak menghalang jemaah masjid untuk terus solat terawih di situ pada setiap kali tibanya bulan Ramadan.

Namun demikian, sudah tiba masanya masjid yang bertaraf negeri tersebut dinaik taraf dengan memasang alat penghawa dingin demi keselesaan jemaah yang hadir untuk beribadah di situ.

Sebelum ini, Masjid Negeri Sabah yang terletak di Sembulan juga tidak memiliki alat penghawa dingin dalam dewan solat, sehinggalah pada sekitar tahun 2006 atau 2007, masjid tersebut kemudiannya dibekalkan dengan alat demikian agar jemaah selesa untuk beribadah di masjid itu.

Mungkin sudah tiba masanya untuk pihak terlibat memerhatikan perkara ini.

Selamat menjalani ibadah puasa dan semoga ibadah kita diterima oleh-Nya. Amin.        

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *