Setahun PH mentadbir: Apa untungnya kepada Labuan & Sabah?

9 Mei 2019

Hari ini genaplah setahun kerajaan baru yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) memerintah negara setelah menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang menyaksikan kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN) tumbang setelah mentadbir negara selama 60 tahun.

Sesungguhnya kemenangan PH dan kekalahan BN dalam PRU tersebut adalah sesuatu yang tidak diduga sama sekali walaupun hasrat majoriti netizen pada waktu itu mahukan agar kerajaan bertukar disebabkan oleh dasar BN yang tidak memihak kepada rakyat.

Kesusahan yang dialami oleh rakyat termasuklah harga petrol, GST, PTPTN, skandal rasuah dan sebagainya menjadi alasan yang kukuh bagi pengundi terutamanya pengundi muda untuk menghukum kerajaan terdahulu dengan undi mereka.

Namun, setelah beberapa bulan memerintah, netizen dan rakyat tertunggu-tunggu apakah kerajaan baru akan segera melaksanakan apa yang dijanjikan oleh mereka ketika PRU dahulu.

Tidak dinafikan ada janji yang telah mereka tunaikan seperti GST dihapuskan (diganti dengan SST selepas itu), malah keputusan pentadbiran yang dibuat oleh PH juga serba sedikit memudahkan rakyat seperti harga minyak RON95 lebih rendah berbanding ketika BN mentadbir dahulu.

Namun demikian, rata-rata rakyat terutamanya mereka yang menggunakan petrol RON95 masih mahu serta percaya bahawa harga minyak tersebut sepatutnya masih boleh diturunkan dibawah paras RM2 seliter.   

Kehidupan rakyat terutamanya di Borneo khususnya Labuan dan Sabah menjadi sedikit mudah berbanding dahulu walaupun masih banyak yang boleh dilakukan.

Isu yang berlaku di Semenanjung mungkin agak berbeza dengan apa yang berlaku di Borneo. Fokus artikel ini ialah isu di Labuan dan Sabah sempena setahun PH mentadbir negara.

Tidak dinafikan banyak lagi janji yang mungkin belum ditunaikan oleh pemimpin PH, dimana alasan yang diberikan oleh mereka ialah disebabkan tugas mereka untuk ‘membersihkan bekas’ yang ditinggalkan oleh pemimpin terdahulu menyebabkan janji PRU terpaksa ditangguhkan.

Walau apapun, PRU akan diadakan pada setiap lima tahun sekali. Dalam tempoh lima tahun tersebut rakyat boleh menilai sendiri apakah mereka berpuas hati dengan prestasi PH atau tidak, dan penilaian mereka itu boleh ‘diluahkan’ dalam peti undi untuk PRU Ke-15 nanti.

Sesungguhnya, apa yang berlaku pada PRU Ke-14 telah memberi banyak iktibar khususnya kepada rakyat negara ini bahawa tidak ada yang kekal di dunia yang fana ini. Kekuasaan mutlak sesungguhnya bukanlah milik manusia.

Yang Maha Pemurah memberi kekuasaan kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan mencabut dari siapa yang dikehendaki-Nya pula. Setiap sesuatu yang berlaku kerana izin-Nya juga.

Sepanjang setahun PH berkuasa, banyak pula iktibar lain yang boleh diambil. Berapa banyak wakil rakyat dan pengikutnya yang terpaksa menebalkan muka dengan melompat ke dalam pasukan PH. Kononnya, itulah harga yang terpaksa dibayar oleh sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Tidak dinafikan, keputusan yang diambil oleh wakil rakyat tersebut memberi serba sedikit keuntungan kepada PH walaupun ada wakil rakyat PH sendiri yang menentang keputusan tersebut. Lebih banyak kerusi didalam PH, suara mereka nampak lebih dominan di dalam Dewan Rakyat.    

Namun, apakah keuntungan sebenar bagi rakyat di Labuan dan Sabah apabila PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara?

Walaupun jawapan bagi soalan di atas masih belum begitu jelas disebabkan usia PH baru setahun jagung, namun, ianya adalah satu permulaan yang baru bagi rakyat di Labuan dan Sabah untuk terus meminta hak mereka yang sepatutnya sudah mula mereka nikmati sebaik Malaysia dibentuk pada 16 September 1963 dahulu.

Bagi Wilayah Persekutuan Labuan pula yang sebelumnya terpaksa menjadi kawasan pembangkang setelah selesai PRU Ke-14, tetapi kemudiannya berpihak kepada kerajaan setelah wakil rakyatnya membuat keputusan menyertai PH pada 11 Oktober tahun lalu perlu melalui cabaran yang baru dalam era yang baru.

Tidak dinafikan setelah Labuan dipisahkan dari pentadbiran Sabah dan diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan Labuan 1984, banyak perubahan yang berlaku di Pulau Labuan. Tetapi hak penduduk Labuan sebagaimana yang termaktub dalam pengisytiharan tersebut masih belum diberikan sepenuhnya kepada penduduk Labuan.

Masih banyak lagi yang perlu diusahakan agar penduduk Labuan mampu untuk menikmati hak mereka terutamanya didalam hak pentadbiran, kemudahan dan sebagainya.

Dalam era pentadbiran baru, Labuan dan Sabah perlu terus dimajukan bukan sahaja dari segi fizikalnya, tetapi juga aspek lainnya seperti pembangunan insaniah yakni akhlak.

Tiada ertinya suatu kemajuan yang dikecapi jika akhlak masyarakat rosak. Sebagai contoh: walaupun ada pemimpin yang mengatakan golongan LGBT juga mempunyai hak dalam negara ini. Namun, tiada agama yang sesungguhnya dalam dunia ini yang memberikan pengiktirafan rasmi akan amalan gaya hidup golongan tersebut kecuali undang-undang sivil di Barat yang mengiktiraf akan perkahwinan sesama jenis diantara mereka.

Berbalik kepada isu asal di atas, sesungguhnya harapan penduduk Labuan kepada Menteri Wilayah Persekutuan yang baru iaitu, Khalid Abdul Samad adalah besar sekali didalam membantu Labuan menuju kegemilangannya.      

Tetapi apakah ahli parlimen yang ada di Labuan sekarang ini yang sebelumnya bekerjasama dengan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mampu untuk bekerjasama pula dengan saudara Khalid untuk membangunkan Labuan?

Apakah pengerusi Perbadanan Labuan yang baru, Datuk Seri Amir Hussien pula mampu memacu pembangunan Labuan yang seterusnya setelah mengambil alih jawatan tersebut daripada Datuk Rozman Isli?

Jawapan kepada dua persoalan di atas juga masih belum jelas dan mereka diberi tempoh yang lama untuk menunjukkan prestasi mereka masing-masing.

Apa yang jelas, Labuan perlu bekerjasama dengan Sabah untuk terus membangun bersama-sama.

Sementara itu, persoalan Jambatan Labuan-Sabah juga masih tergantung hingga ke hari ini dan belum punya jawapan yang jelas sama ada projek jambatan itu akan diteruskan pada masa hadapan atau pun tidak walaupun ada pihak yang mendakwa projek tersebut akan dilaksanakan.  

Apa yang pasti, PH masih mempunyai baki empat tahun lagi untuk menunaikan janji serta menunjukkan prestasi mereka kepada rakyat yang akan menentukan sama ada PH akan terus mentadbir negara untuk tempoh yang seterusnya atau pun tidak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *