Alat pengapit roda dirosakkan: Lelaki tempatan dipenjara selama setahun

18 Mei 2019

LABUAN – Seorang lelaki tempatan berumur 20-an telah dijatuhkan hukuman penjara selama setahun kerana didapati bersalah melakukan perbuatan khianat dengan sengaja merosakkan harta awam.

Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Penguatkuasaan Perbadanan Labuan (PL), Musa Bariong berkata, pihak mereka telah mendapat maklumat dari pihak awam berkenaan dengan lelaki itu yang telah merosakkan alat pengapit roda milik PL.

“Pada 4 April yang lalu, anggota penguatkuasaan PL mendapati kenderaan milik lelaki itu telah diletakkan di kawasan meletak motosikal berhampiran dengan Hotel Melati Inn. Tindakan pemilik kenderaan ini menyalahi Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Perintah Pengangkutan Jalan 1995.

“Anggota penguatkuasaan PL telah mengambil tindakan mengapit roda kenderaan milik lelaki tersebut pada jam 9 pagi. Namun, sekitar sejam setengah selepas itu, pihak kami telah menerima maklumat dari orang awam bahawa alat pengapit tersebut telah dirosakkan. Pemeriksaan ke lokasi kejadian mendapati  maklumat tersebut adalah benar.    

“Laporan polis telah dibuat pada hari yang sama iaitu jam 11.43 pagi. Pihak polis telah menahan lelaki tersebut pada 9 April dan direman selama empat hari sebelum dihadapkan ke Mahkamah Majistret Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya kepada pihak media kelmarin.

Beliau berkata lanjut, dalam perbicaraan di mahkamah, lelaki itu mengaku bersalah di hadapan hakim sebelum dijatuhkan hukuman.

Lelaki tersebut dituduh dibawah Seksyen 427 Kanun Acara Jenayah iaitu melakukan perbuatan khianat dengan sengaja merosakkan harta awam.

Musa menyeru khususnya kepada warga Labuan agar mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan dalam mengawal selia kemudahan petak letak kereta dalam kawasan pusat bandar.

Selain itu, beliau menjelaskan kadar caj penggunaan petak letak kereta di Wilayah Persekutuan Labuan adalah yang terendah iaitu 50 sen untuk sejam pertama dan 70 sen untuk setiap jam yang berikutnya, dimana akta yang berkaitan tidak pernah dipindah sejak 1995.

Menurut beliau, pada tahun lalu, sejumlah 20 kes telah difailkan di mahkamah kerana kesalahan yang berkaitan dengan meletak kenderaan.

Sementara, lapan kes telah difailkan pada tahun 2017. Daripada jumlah 28 kes tersebut, sebanyak 17 kes telah selesai dan 11 kes lagi belum selesai kerana pesalah berada di luar kawasan Wilayah Persekutuan.

“Sebelum pesalah dihadapkan ke mahkamah, kompoun akan diberikan. Jika tiada respon dari pesalah, notis peringatan pembayaran kompoun akan dikeluarkan. Pesalah hanya akan dihadapkan ke mahkamah jika tiada tindakan susulan selepas notis tersebut dikeluarkan,” jelas Musa.

Berkenaan dengan kereta sapu yang beroperasi secara bebas di kawasan bandar, Musa menjelaskan, pihak mereka telah bermesyuarat dengan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan beberapa agensi lain untuk membincangkan perkara tersebut.

“Jika mereka diberi permit sementara, syaratnya adalah ketat dan hanya 15 buah sahaja yang akan diberikan. Ianya untuk memenuhi keperluan pengangkutan bagi penduduk yang tinggal di kawasan penempatan UNHCR,” katanya.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *