Sembang politik raya di Labuan

11 Jun 2019

Alhamdulillah…setelah menempuh ujian berpuasa dalam Bulan Ramadhan baru-baru ini, sekali lagi kita berpeluang untuk menyambut Syawal didalam suasana yang aman dan tenteram.

Nikmat keamanan dan kestabilan politik di negara kita dan khususnya di Labuan adalah sesuatu yang besar dan perlu disyukuri.

Namun, bagi mereka yang memerhatikan suasana dan perjalanan politik semasa di Labuan pasti akan berbual serba sedikit mengenai bab politik dengan rakan-rakan yang gemar dengan perihal politik di rumah terbuka yang dikunjungi.

Apa yang pasti pada saat ini, segalanya telah berubah di Labuan: Pakatan Harapan (PH) kini berkuasa di Labuan dan itu adalah suatu realiti yang nyata.  

Jika dipandang dari luar, empat komponen utama parti PH iaitu PKR, Bersatu, DAP dan Amanah mampu bekerja secara bersama-sama dengan Warisan untuk kestabilan politik dan kemakmuran Labuan.

Tetapi, jika diteliti sejarah perjalanan politik Labuan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 dan Ke-14, hanya pemimpin utama PKR dan DAP Labuan yang layak dikatakan berjuang sehingga sampai ke kemuncak kemenangan dalam PRU pada tahun lalu.

Apa yang merisaukan ialah bolehkah pemimpin-pemimpin yang secara tiba-tiba bertukar baju dari warna ‘merah’ atau ‘biru’ ke warna lain dalam PH diberi kepercayaan sepenuhnya untuk memimpin warga Labuan setelah nyata kemenangan PH sebelum ini?

Dalam rumah terbuka yang dihadiri, beberapa kelibat bekas pemimpin baju warna merah atau biru dahulu yang kini berada dalam PH nampak gah dan seolah-olah merekalah yang diberi mandat oleh rakyat untuk kelihatan berkuasa dan berkedudukan.

Benar, rakyat Labuan sebenarnya telah memberi mereka mandat. Namun, angin berubah sehingga mereka perlu membuang baju lama setelah kemenangan PH secara keseluruhannya.

Walaupun, dalam rumah terbuka segala perbezaan politik perlu diketepikan, namun, ada pemimpin dikalangan mereka yang telah menukar baju memakai pakaian PH tetap dengan lagak lama.

Namun, tidak dinafikan ada juga beberapa bekas pemimpin tersebut kini lebih ‘humble‘ setelah menyertai PH.

Sedarlah wahai pemimpin PH Labuan yang telah membuang baju lama setelah PRU Ke-14; kamu bukanlah pejuang dalam erti kata yang sebenarnya. Kamu hanyalah ‘oportunis’ yang nyata yang diberi peluang untuk berbakti kepada rakyat Labuan.

Maaf dengan perkataan oportunis. Namun, itu adalah realiti.

Walaupun ‘baiah’ yakni sumpah taat setia kamu kepada bekas Perdana Menteri dahulu telah pun dibuang ke tepi setelah kalah demi kedudukan dan keselesaan pada saat ini. Namun, diharapkan baiah (jika sudah dilafazkan) kepada Perdana Menteri kini adalah baiah yang ‘asli’.

Kini suara pembangkang yang lantang dan tegas di Labuan amat dirindui sebagai ‘check and balance’.

Sebelum kemenangan PH, hanya suara PKR yang begitu berani dan lantang sekali mengkritik kerajaan terdahulu di Labuan walaupun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan dan ancaman.

Diharapkan suara pembangkang Umno dan Pas selepas ini mampu memainkan peranan yang penting untuk mengkritik pentadbiran kerajaan PH demi kebaikan bersama.  

Walau apa pun, kuasa hanyalah ujian dan ianya adalah amanah dari Yang Maha Berkuasa.

Ingatlah pesan Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a: “Nanti engkau akan begitu tamak pada kekuasaan. Namun kelak di hari kiamat, engkau akan benar-benar menyesal” (Hadis Bukhari).

Atau

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya kalian nanti akan sangat bercita-cita menjadi pemimpin, padahal kelak di hari kiamat ia akan menjadi penyesalan.” (Riwayat Bukhari).

Cukuplah hadis ini sebagai ingatan untuk diri sendiri.

Semoga barisan pemimpin PH Labuan yang turut dihimpit oleh lambakan oportunis diberi taufik dan hidayah untuk memimpin Labuan ke arah kegemilangan demi kesejahteraan penduduk Labuan secara keseluruhannya.                     

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *