Rabies: Seorang wanita meninggal di Kuching

13 Jun 2019

KUALA LUMPUR – Seorang wanita berumur 61 tahun telah disahkan meninggal dunia di Pending, Kuching disebabkan oleh jangkitan rabies.  

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, wanita itu telah disahkan terkena jangkitan rabies melalui ujian makmal yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) kelmarin.

“Pesakit telah meninggal dunia semasa dalam rawatan di wad Hospital Umum Sarawak (HUS) kelmarin jam 10.47 malam. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang. Sebelum ini, pesakit telah digigit oleh seekor anjing liar di bahagian ibu jari tangan kanannya pada 29 April yang lalu.

“Ianya berlaku ketika pesakit cuba menghalau anjing tersebut yang sedang menyalak ke arahnya. Beliau telah mencuci luka tersebut selama lima minit dan terus mendapatkan rawatan di sebuah klinik komuniti berhampiran rumahnya dan diberi temu janji seminggu kemudian.

“Walau bagaimanapun, pesakit itu tidak mendapatkan rawatan susulan seperti yang ditetapkan kerana berpendapat bahawa luka pada jarinya telah sembuh,” katanya dalam kenyataan akhbar pada hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata lanjut, pada 6 Jun yang lalu, pesakit mula mengalami sakit dan rasa tidak selesa pada bahagian lengan tangan kanannya.

“Beliau telah mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak pada 8 Jun dan telah dimasukkan ke wad penyakit berjangkit serta diberikan Rabies immunoglobulin (RIG).

“Pada keesokan harinya, beliau mengadu loya, pening, susah menelan, sakit kepala, kesukaran untuk menelan air (hydrophobia), tidak selesa di bahagian lengan tangan kanan dan lemah di bahagian bawah badan.

“Setakat ini, jumlah kes rabies yang berlaku dikalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017 sehingga 12 Jun 2019 adalah 19 kes; termasuk 18 kematian,” katanya.

Daripada 19 kes tersebut, tiga kes dilaporkan berlaku pada tahun ini.

Pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak telah mengeluarkan peringatan kepada semua pengamal perubatan di negeri itu agar memastikan pengurusan kes gigitan haiwan termasuk anjing dijalankan mengikut Panduan Pengurusan Kes Gigitan Haiwan di Sarawak.

Manakala, kes gigitan yang berisiko dan gagal mendapatkan rawatan susulan hendaklah dimaklumkan segera kepada pejabat kesihatan berhampiran supaya kes boleh dikesan.

“Salah satu cara pencegahan jangkitan rabies pada manusia adalah segera membasuh luka gigitan dengan sabun dan air yang mengalir sekurang-kurangnya 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur haiwan.

“Selepas itu, dapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital kerajaan yang berdekatan.

“Sentiasa elakkan diri daripada digigit oleh anjing atau haiwan liar memandangkan kebanyakan kawasan di Sarawak adalah positif rabies,” jelas Dr. Noor Hisham.

Bagi memastikan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi mencapai Sarawak bebas rabies, orang ramai diminta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan memberi kerjasama dalam pelaksanaan program kawalan dan pencegahan rabies yang dijalankan. -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *