AGM DPMM di Hotel Royal Chulan tidah sah di sisi undang-undang

30 Jun 2019

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan oleh 18 bekas ahli Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) pada 15 Jun lalu di Hotel Royal Chulan The Curve, Damansara diisytiharkan tidak sah di sisi undang-undang pertubuhan Malaysia dan perlembagaan DPMM.

Setiausaha Agung DPMM, Don Nazwim Don Najib berkata, antara senarai nama bekas ahli tersebut ialah seperti Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee, Haji Fauzi Hassan, Abdul Halim Husin, Norsyahrin Hamidon, Datuk Syed Ali Alattas, Abdul Rahman Yaakub, Yusri Yusof, Haji Mohd Azmi Ali, Haji Zuhaizar A. Karim, Haji Harun Mahmud, Mohd Rasit Saleh, Haji Md. Pishal Ab. Raub, Mohd Zayad Md. Ismail, Muhammad Farhan Basheer Ahamed, Mohd Yusrizal Omar, Haji Awang Sham Hj. Amat, Haji Hamzah Paravil Moideom dan Samani Amat.

“Penganjuran mesyuarat tidak sah itu adalah satu bentuk penipuan besar dan dipercayai dibuat dengan tujuan untuk merampas kuasa dari kepimpinan DPMM yang sah, mengelirukan serta memperdayakan ahli DPMM dan masyarakat umum. Dalam AGM tersebut, Datuk Seri Syed Hussein telah dilantik sebagai presiden baru oleh bekas ahli yang turut sama bersubahat dalam perbuatan menyalahi undang-undang ini.

“Keahlian Datuk Seri Syed Hussein dan 17 nama terbabit telah tergugur secara automatik berkuatkuasa pada 13 September 2018 mengikut fasal 27.6.6 dan 8.12.5 Perlembagaan DPMM kerana telah membawa DPMM ke Mahkamah di bawah Saman Pemula No. WA-24NCvC-1819-09/2018, seperti yang diputuskan secara sebulat suara dalam Mesyuarat Agung DPMM Yang Ke-52 pada 22 November tahun lepas, dan telah diperakui oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata lanjut, presiden DPMM yang sah di sisi undang-undang ketika ini masih lagi dipegang oleh Rizal Faris Mohideen Abdul Kader seperti yang terkandung dalam rekod eRoses terkini di bawah kelolaan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Don Nazwim menjelaskan bahawa laporan polis juga telah dibuat untuk tindakan susulan.

DPMM berharap tindakan selanjutnya ke atas penganjur mesyuarat agung tidak sah ini akan diambil secepat mungkin bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan ahli DPMM. -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *