Kejohanan antara kelab: Pasukan renang LIS bersinar

27 Jun 2019

LABUAN – Kelab Renang Sekolah Antarabangsa Labuan, LIS Marlin telah berjaya memperolehi tujuh pingat emas, empat pingat perak dan satu pingat gangsa dalam Kejohanan Antara Kelab Antarabangsa GCM Keempat (4th GCM International Inter-Club Championship) yang berlangsung dari 22 hingga 23 Jun yang lalu di Kolam Renang GCM, Miri, Sarawak.

Perenang LIS Marlin, Tan Jie Sheng berumur 17 tahun telah dinobatkan sebagai perenang terbaik bagi kategori 15-17 tahun lelaki setelah menggondol tiga pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa dalam kejohanan itu.

Beliau memperolehi tiga pingat emas melalui acara 100 meter gaya kupu-kupu; 100 meter dan 50 meter dalam gaya kuak lentang.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Antarabangsa Labuan itu berjaya mengulangi kejayaan yang sama pada tahun lepas juga sebagai perenang terbaik dalam ketegori dan kejohanan yang sama.

Manakala, perenang muda berusia sembilan tahun, Jad Jayden Ng Ka Hey turut dinobatkan sebagai perenang terbaik bagi kategori lelaki sembilan tahun ke bawah, dimana murid tahun tiga Sekolah Antarabangsa Labuan itu telah berjaya memenangi dua pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa.

Jad Jayden meraih pingat emas dalam acara 50 meter gaya kuak dada dan gaya kupu-kupu; pingat perak melalui acara 50 meter gaya kuak lentang dan gaya bebas; dan pingat gangsa melalui acara 100 meter gaya bebas.

Sementara itu, Nur Dylaila Myzara Drahman pula berjaya memenangi dua pingat emas dalam acara kegemarannya iaitu gaya kuak dada dalam acara 50 meter dan 100 meter. Pelajar tingkatan satu Sekolah Antarabangsa Labuan itu bertanding dalam kategori 12-13 tahun.

Perenang lain LIS Merlin yang menyertai kejohanan ini juga telah menunjukkan prestasi yang baik dengan memperbaiki catatan peribadi terbaik mereka seperti Adam Fahmi (lapan tahun), Azriel Jeffri Chin (lapan tahun), Davon Ryan (10 tahun), Hanniel Jeffri Chin (13 tahun), Anjana Natalie Menon (13 tahun), Adison Teo (15 tahun), Ivan Chua Ee Kin (16 tahun), Yeo Sir Yong (16 tahun) dan Nur Dylaina Merza Binti Drahman (16 tahun).

Sebanyak 12 buah kelab dari Brunei Darussalam, Sabah, Sarawak dan Labuan telah menyertai kejohanan itu pada tahun ini.

LIS Marlin yang diketuai oleh ketua jurulatih, Clement David Leong dan dibantu oleh penolong jurulatih, Nurul Shafiqah telah menghantar seramai 12 orang perenang dalam kejohanan tersebut.

Clement berkata, kejayaan merangkul tujuh pingat emas, empat pingat perak dan dua pingat gangsa menunjukkan perkembangan yang positif bagi pasukan itu dalam kejohanan pada tahun ini.

Kejayaan itu diserikan lagi dengan kejayaan Jie Sheng dan Jayden yang telah dinobatkan sebagai perenang terbaik dalam kategori mereka masing-masing.

“Saya berharap semua perenang LIS Merlin akan terus berlatih dengan gigih dan memperbaiki kesilapan mereka kerana selepas ini pasukan kami akan menyertai beberapa kejohanan lain yang bakal diadakan di Singapura, Sabah dan Labuan,” kata Clement.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *