Pil menggugurkan janin: KKM pandang serius penjualan melalui online

16 Julai 2019

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius berkenaan isu penjualan produk misoprostol dan mifepristone dalam talian yang digunakan untuk tujuan menggugurkan janin.

“Kedua produk tersebut merupakan produk tidak berdaftar dan tidak dibenarkan untuk dijual di pasaran Malaysia. Sejak tahun 2016, sebanyak 16 serbuan yang mensasarkan produk seperti ini telah dilaksanakan dengan jumlah 28 rampasan bernilai RM97,578.

“Serbuan ini dilaksanakan hasil daripada aktiviti risikan forensik siber yang rumit dan rapi, mengikut prosedur dan undang-undang sedia ada. 

“Pihak penjual menggunakan medium internet, aplikasi komunikasi internet dan platform e-dagang untuk mengelakkan aktiviti mereka daripada dihidu oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata lanjut, memandangkan aktiviti penjualan ini semakin serius, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi telah meningkatkan kerjasama dengan pengendali platform e-dagang yang berpusat di Malaysia serta media sosial dalam mengambil tindakan untuk menyenarai hitam penjual yang menjual produk ini di platform mereka.

“Bagi penjual yang menjual dalam laman web peribadi, domain mereka akan disenaraikan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk tindakan sekatan. Dari tahun 2016 hingga kini, sebanyak 225 laman sesawang telah dipantau dan diprofil dan daripada jumlah tersebut, 98 laman web telah dihantar kepada SKMM, Facebook, Twitter dan YouTube untuk tindakan penutupan. 

“Sumber pembekalan produk farmaseutikal yang tidak berdaftar disyaki diperolehi secara haram di dalam negara dan melalui pembelian secara dalam talian dan penyeludupan dari negara luar. Penghantaran pil misoprostol kepada pembeli adalah menggunakan perkhidmatan pos dan kurier. Penjual menggunakan identiti palsu dan alamat tempat penjualan palsu,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata, kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), CyberSecurity, Polis Diraja Malaysia, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diperlukan dalam usaha mengekang kewujudan laman sesawang dan sosial yang dikesan melanggar akta yang dikuatkuasakan.

Dr. Noor Hisham menjelaskan, KKM turut menyertai jaringan operasi antarabangsa seperti Interpol dan agensi kesihatan luar negara dalam usaha membanteras aktiviti sedemikian. 

Penjualan produk yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

Individu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya. 

Dr. Noor Hisham menasihatkan agar orang ramai berhati-hati sewaktu membeli produk kesihatan yang dijual secara dalam talian, tidak mudah terpedaya dengan iklan dan maklumat yang disiarkan serta memastikan produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan.

Orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari www.npra.gov.my

Orang ramai juga dimohon untuk menyalurkan maklumat mengenai penjualan pil gugur ini dan mengemukakan sebarang aduan berkaitan produk kesihatan dan iklan yang meragukan boleh disalurkan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my atau mana-mana cawangan penguatkuasaan farmasi yang berdekatan atau melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk seperti ini di pasaran.-Bernama

Foto: pixabay

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *