Pelajar genius matematik Labuan bersinar dalam kejohanan renang

6 Ogos 2019

LABUAN – Dua pelajar genius matematik SJKC Chi Wen telah menunjukkan prestasi cemerlang mereka dalam Kejohanan Renang Terbuka Sandakan Ketiga yang diadakan di Kolam Renang, Kompleks Sukan Sandakan baru-baru ini.

Nicole Tiong Yen Hui, pemenang pingat emas Malaysia International Mathematic Arithmetic for School (MiMAS) tahun ini telah berjaya menggondol lima pingat emas dan satu pingat perak dalam kejohanan yang diadakan selama dua hari itu.

Nicole yang mewakili Persatuan Akuatik Labuan (PAL) bertanding dalam kategori perempuan umur bawah sembilan tahun hadir sebagai perenang pilihan atas kejayaan beliau sebelum ini apabila dinobatkan sebagai perenang terbaik dalam Kejohanan Sabah Age Group 2019 pada awal tahun ini.

Ternyata sandaran PAL itu tidak meleset, apabila beliau mendahului peserta lain dalam acara 100 meter kuak dada, 50 meter kuak dada, 50 meter kuak lentang, 50 meter kuak kupu-kupu dan 50 meter gaya bebas untuk meraih lima pingat emas.

Manakala, satu-satunya pingat perak yang diperolehinya ialah melalui acara 100 meter gaya bebas.

Dengan kejayaan tersebut, Nicole Tiong sekali lagi telah dinobatkan sebagai perenang terbaik bagi kategori perempuan bawah sembilan tahun dalam kejohanan tersebut.

Manakala, seorang lagi murid genius matematik tahun dua SJKC Chi Wen, Azriel Jeffri Chin yang juga bertanding dalam kejohanan itu berjaya membawa pulang sebuah pingat perak.

Azriel iaitu rakan sepasukan Nicole yang bertanding dalam kategori lelaki bawah sembilan tahun memperolehi pingat perak tersebut melalui acara 50 meter gaya bebas.

Azriel yang juga bertanding dalam acara kuak dada, kuak kupu-kupu dan kuak lentang berjaya memperbaiki masa peribadinya dalam ketiga acara terbabit.

Sementara itu, seorang lagi perenang PAL, Nicholas Tiong Sheng Voon iaitu murid tahun dua SJKC Chi Wen dan adik kepada Nicole turut mengambil bahagian dalam kejohanan yang demikian.

Ibu bapa kepada Nicole dan Azriel bersetuju bahawa usaha keras dan ketekunan anak mereka telah membuahkan hasil di dalam bilang yang mereka ceburi.

Kebijaksanaan membahagi masa antara berlatih berenang dan belajar adalah faktor kejayaan mereka.

Kejohanan tersebut telah disertai oleh beberapa kelab renang dari Filipina, Labuan, Kota Kinabalu dan Sandakan.

Majlis perasmian kejohanan itu telah disempurnakan oleh menteri belia dan sukan Sabah, Phoong Jin Zhe.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *