Enam belas keluarga miskin tegar terima bantuan di Labuan

17 November 2019

LABUAN – Sejumlah 16 buah keluarga miskin dan miskin tegar di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan telah menerima bantuan barangan kelengkapan asas rumah kelmarin.

Jurucakap bagi Perbadanan Labuan (PL) berkata, bantuan tersebut disalurkan melalui Program Labuan Komuniti Care 2019 yang dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Perbadanan Labuan dalam usaha menyemarakkan semangat pendampingan sosial di kalangan warga Wilayah Persekutuan Labuan.

“Antara barangan kelengkapan asas yang diberikan kepada penerima adalah seperti barangan elektrik, perabot, katil, almari, dapur gas, mesin basuh serta keperluan kesihatan seperti mesin tekanan darah, tongkat, kerusi roda dan sebagainya.

“Penerima bantuan dalam program ini juga merupakan peserta yang telah disenaraikan dalam Kluster Program Baik Pulih Rumah Daif dibawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar KPKT, dimana setiap unit kediaman mereka dibaik pulih dengan kos RM5,000.00 bagi setiap unit kediaman,” katanya.

Jurucakap tersebut berkata lanjut, penyerahan barangan kelengkapan rumah itu adalah bagi memenuhi keperluan asas isi rumah dan meringankan beban penerima.

Pemberian peralatan tersebut membolehkan golongan penerima menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik di rumah mereka masing-masing serta membolehkan mereka memberikan tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan hasil pendapatan keluarga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *